Thursday, February 19, 2009

MB, Exco BN digantung

Oleh Ridzuan Yop, Shamsul Kamal Amarudin,
bhnews@bharian.com.my


ZAMBRY (kanan) mempengerusikan mesyuarat Exco pertama selepas membentuk kerajaan negeri yang baru di Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.

Tindakan Speaker subjudis kerana kes difailkan di Mahkamah Tinggi: Zambry

IPOH: Politik di Perak semakin bercelaru apabila Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam ahli Exconya digantung dan dilarang menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) antara 12 hingga 18 bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan mengejutkan itu dibuat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak pada mesyuaratnya semalam kerana mendakwa tindakan Zambry dan enam Exco itu mengangkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri serta menghina DUN.


Zambry yang dihubungi bagaimanapun menegaskan jawatankuasa dipengerusikan Speaker DUN dari Pakatan Rakyat, V Sivakumar, membuat keputusan itu tanpa mengendahkan kuasa Sultan Perak yang memperkenankan pelantikannya sebagai Menteri Besar dan barisan Exco berkenaan.

Beliau berkata, tindakan jawatankuasa itu juga subjudis kerana isu pelantikannya sebagai Menteri Besar sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh bekas Menteri Besar dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Terdahulu, Zambry serta enam ahli Exco berkenaan dipanggil memberi penjelasan di hadapan jawatankuasa itu di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, kira-kira jam 2.55 petang sebelum keluar dan terus ke pejabatnya, kira-kira 3.25 petang.

Semua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN itu sebelum ini diberi notis saman supaya menghadap jawatankuasa berkenaan berikutan aduan Adun Canning dari DAP, Wong Kah Woh, berhubung isu majlis angkat sumpah jawatan mereka sebagai Menteri Besar dan Exco.

Wong mendakwa majlis angkat sumpah jawatan itu bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri dan menghina DUN kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan secara rasmi.

Sivakumar dalam kenyataan media yang diedarkan kira-kira jam 6.15 petang, berkata Dr Zambry serta enam Exco itu gagal dan tidak memberi sebarang penjelasan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Adun Simpang Pulai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chan Ming Kai; Adun Selinsing (Pas), Husin Din; Adun Tebing Tinggi (DAP), Ong Boon Piow: Adun Bercham (DAP), Sum Cheok Leng dan Adun Kepayang (DAP), Loke Chee Yan.

Bagaimanapun, wakil tunggal Barisan Nasional (BN) dalam jawatankuasa itu, Datuk Hasbullah Osman (Temenggor), tidak hadir pada mesyuarat hampir tiga jam itu.

Sivakumar berkata, jawatankuasa itu mendapati ada kes prima facie terhadap aduan rasmi yang dibuat Wong.

"Saya membuat keputusan bahawa Dr Zambry dengan serta-merta digantung dan dilarang menghadiri sesi DUN selama 18 bulan," katanya.

Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, Ramly Zahari (Manong), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Shaarani Mohamad (Kota Tampan), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Mah Hang Soon (Chenderiang) pula digantung dan dilarang menghadiri sidang DUN selama 12 bulan.

Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11 pada 6 Februari lalu, diikuti barisan exconya pada 10 Februari.

Sementara itu, seorang peguam, Naran Singh, ketika dihubungi berkata Sivakumar masih sah sebagai Speaker DUN Perak sehingga beliau disingkirkan menerusi sidang DUN.

Beliau berkata, Peraturan DUN Perak menetapkan Speaker hanya boleh dilantik dan dilucutkan jawatan menerusi undi di kalangan Adun pada sidang DUN.

"Speaker dipilih oleh DUN dan jika BN ingin melantik calon Speaker mereka, pengundian mesti dilakukan menerusi Sidang DUN," katanya.

Naran berkata, peraturan pelantikan Speaker DUN berbeza dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang memberi Sultan kuasa melantik Menteri Besar dan Exco.

"Jika Sultan Perak sudah melantik Menteri Besar baru walaupun Menteri Besar sebelum itu enggan meletak jawatan, Menteri Besar baru sah kerana dalam satu negeri tidak boleh ada dua Menteri Besar.

"Jawatan Menteri Besar lama secara automatik gugur tetapi dalam kes Speaker DUN, peraturannya berbeza," katanya.

Followers

Blog Archive

Perjuangan bukan satu permainan

My photo
Selangor, Malaysia
Pendapat sentiasa selari namun tak pernah bertemu